'Harga minyak sawit mentah dunia turun, kurangkan juga harga minyak masak'


  • Primer
  • Khamis, 21 Jul 2022

Nanta menjangkakan harga minyak masak botol dalam negara akan turut dalam masa terdekat.

PEMAIN industri dalam negara diminta menurunkan harga minyak masak selari dengan penurunan harga minyak sawit mentah dunia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, ini dilihat perlu memandangkan harga minyak sawit mentah dunia telah banyak turun daripada paras tertinggi sejak dua bulan lepas.

"Secara prinsipnya harga minyak masak berubah ikut harga minyak masak mentah, harga turun naik ikut harga pasaran dunia dan kita harap pemain industri juga buat penyesuaian harga untuk dijual di peringkat runcit,” katanya dalam sidang media di ibu negara pada Khamis.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormat sempena Sambutan Jubli Emas Ke-50 Bahagian Penguatkuasa dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tahun 2022 di Maktab Penjara Malaysia.

Nanta pada Rabu dilapor berkata, harga minyak sawit mentah turun daripada RM7,000 per tan metrik kepada RM3,600 per tan metrik minggu ini, dan menjangkakan harga minyak masak botol dalam negara akan turut dalam masa terdekat selari penurunan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mendepani masalah berkaitan kekurangan bekalan ubat.

"Ia perlu perbincangan bagaimana untuk kawal atau apa sepatutnya dikawal bukan sekadar berkaitan harga sahaja, pandangan KKM juga perlu diteliti," katanya menambah bahawa pihaknya turut menerima aduan berkaitan kekurangan bekalan ubat namun jumlahnya tidak banyak.

Terdahulu, dalam ucapannya, Nanta berkata, sebanyak 6,457 kertas siasatan dibuka sepanjang tahun ini sehingga bulan lepas, dengan kesalahan tertinggi berkaitan ketidakpatuhan harga, selain merekodkan RM25.94 juta nilai rampasan dan kompaun sebanyak RM3.33 juta.

Pada majlis sama, Nanta turut mengumumkan jawatan Pengarah Penguatkuasa akan ditukar kepada Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, manakala jawatan Timbalan Pengarah kepada Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP.

Pada majlis itu, seramai 67 anggota tamat latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDNHEP yang bermula 1 hingga 14 Julai lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram