ANGGOTA penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang gambarnya tular kerana rebah semasa perbarisan Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pada Khamis adalah anak angkat Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Ketua Pemuda Umno itu memaklumkan bahawa anak angkatnya itu dikenali sebagai Nik Mohd Adhar merupakan anak yatim piatu.
"Rupanya gambar yang viral hari ini (Khamis) merupakan anak angkat saya sendiri yang kini bertugas sebagai penguat kuasa KPDNHEP di Tawau, Sabah.
"Namanya adalah Nik Mohd Adhar. Dia merupakan anak yatim piatu sejak sekolah. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak dia di Sekolah Geting Tumpat lagi," katanya pada Khamis.
Jelas Asyraf, individu dalam gambar yang meluru kepada Nik Mohd Adhar dan memapahnya untuk bangkit semula ketika dia terjatuh pitam seketika adalah bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’acob.
Individu yang memapah Nik Mohd Adhar untuk bangkit semula ketika dia terjatuh pitam seketika adalah bapa saudaranya. — Facebook
Katanya, lelaki tersebut memelihara Nik Mohd Adhar sejak kematian kedua-dua ibu bapanya.
"Baru hubungi Nik Mohd Adhar bertanya khabar. Rupanya dia demam ketika berkawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, Khamis pagi. Moga ALLAH beri kesembuhan yang sempurna kepadanya," kata Asyraf.
Dia turut menzahirkan rasa terharu melihat tindakan pantas Abdul Aziz memapah anak saudaranya yang pitam semasa perbarisan.
"Terharu tengok pakcik yang sudah berumur menzahirkan kasih sayang kepada anak saudara yang dianggap seperti anaknya sendiri, sanggup meluru dan memapah anaknya ketika rebah berkawad," katanya.
Terdahulu, gambar tersebut dimuat naik oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di laman Facebook.
Alexander mengakui beliau tidak dapat menahan air matanya melihat momen berlaku di hadapannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram