Anak pembantu rumah sambilan maut jatuh tingkat 35 kondominium di Ampang


  • 112
  • Selasa, 19 Jul 2022

Seorang kanak-kanak warga Indonesia berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Ampang, pada Isnin. — Sinar Harian

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Pandan Perdana, Ampang, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan kondominium berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa warga Indonesia dibawa ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan.

"Sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 36 tahun meninggalkan anaknya yang sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum turun untuk membasuh pakaian di kedai dobi.

"Semasa berada di bawah, ibu mangsa melihat orang ramai berkerumun di kawasan tingkat bawah dan mendapati mangsa adalah anaknya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dipercayai mangsa bangun dari tidur dan membuka sliding door sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni.

Tambahnya, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

"Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur untuk bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram