Kerajaan negeri lulus garis panduan kemudahan penjagaan ibu, buka 3 pusat jagaan kanak-kanak


  • Primer
  • Isnin, 18 Jul 2022

Chong Eng bersama penerima geran membina dan menaik taraf pusat jagaan kanak-kanak di Pulau Pinang. — The Star

BAJET sebanyak RM117,484 diperuntukkan untuk pembukaan tiga pusat jagaan kanak-kanak baharu di Pulau Pinang.

Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam Negeri, Chong Eng berkata, pusat baharu itu akan dibuka di tiga lokasi berbeza pulau tersebut.

“Kerajaan negeri turut meluluskan geran sebanyak RM194,138 bagi menaik taraf 14 pusat jagaan kanak-kanak sedia ada.

"Kelulusan itu diberikan semasa mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 26 Ogos tahun lepas, di bawah Skim Bantuan Taska,” katanya pada sidang media di Komtar, Pulau Pinang.

Chong Eng yakin pemberian geran itu akan menggalakkan pembukaan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak, di samping meringankan beban mereka yang mengendalikan tempat tersebut.

Kerajaan negeri juga telah meluluskan garis panduan untuk pusat jagaan ibu selepas bersalin Pulau Pinang.

“Sebelum ini, tiada akta khusus untuk perkhidmatan pusat jagaan ibu dan bayi semasa berpantang. Pusat-pusat ini hanya diiktiraf sebagai perniagaan berdaftar di bawah lesen yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Ketiadaan agensi khusus yang mengawal selia aktiviti pusat jagaan ibu selepas bersalin menyebabkan tiada saluran khas untuk para ibu membangkitkan isu berkaitan sekiranya terdapat pertikaian,” katanya.

Di bawah portfolionya, Chong Eng mengambil inisiatif untuk menghasilkan garis panduan bagi memastikan pusat sedia ada dan baharu mematuhi aspek teknikal dan keselamatan.

Beliau berkata, garis panduan itu diluluskan semasa mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Prai berkuat kuasa 1 Julai, di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

“Saya berharap dengan kelulusan garis panduan tersebut, pengusaha pusat jagaan ibu selepas bersalin akan menyegerakan permohonan mereka,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram