Tuntutan palsu PenjanaKerjaya pemimpin MIC tiada kaitan dengan parti — Saravanan


  • Primer
  • Ahad, 17 Jul 2022

Saravanan ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Pulau Pinang di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas pada Ahad. — Bernama

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan tidak menafikan ada individu dalam kalangan anggota MIC terlibat dalam tuntutan palsu berkaitan Progam Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, bagaimanapun penglibatan individu dalam tuntutan palsu itu tidak mempunyai kaitan dengan parti MIC.

"Setakat ini tidak ada sebarang maklumat (mengenainya) tapi saya tidak boleh nafikanlah penglibatan individu, tapi itu tidak ada kaitan dengan MIC,” katanya pada Ahad.

Saravanan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pihak yang didengarinya, mengenai beberapa anggota parti politik itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat tuntutan palsu berkaitan PenjanaKerjaya.

SPRM sebelum ini dilaporkan menahan reman 40 individu bagi membantu siasatan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri menerusi Op Hire beberapa hari lepas. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram