Penganalisis jangka satu lagi gabungan baharu pada PRU-15


  • Politik
  • Rabu, 13 Jul 2022

PRU-15 dijangka akan menyaksikan pertembungan tiga pertubuhan iaitu BN, PN dan penyatuan parti-parti khemah besar. — MalaysiaKini

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan sekurang-kurangnya pada September tahun depan bakal memberi debaran kepada pengundi serta parti politik yang bertanding.

Difahamkan, ramai yang masih tertanya-tanya sama ada pilihan raya itu bakal menyaksikan pertembungan pakatan parti politik sama atau kemungkinan wujud gabungan baharu.

ZAINAL-KLING

Zainal menjangkakan bahawa parti-parti politik Melayu Islam akan bersatu bagi memastikan kelangsungan kuasa Melayu Islam. — Suara Merdeka

Penganalisis politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling tidak menolak kemungkinan wujudnya tiga pertubuhan besar dalam PRU-15, yakni Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); dan khemah besar yang terdiri daripada beberapa parti komponen.

Gabungan khemah besar yang dimaksudkan terdiri daripada PKR, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), DAP dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Zainal berkata, parti yang terdiri daripada berbilang bangsa dijangka akan cenderung menyertai khemah besar, manakala parti yang lebih seragam ke arah Melayu dan Islam akan cenderung membuat satu gabungan lain.

"Parti-parti politik Melayu Islam akan berusaha bersatu bagi memastikan kelangsungan kuasa Melayu Islam.

"Manakala parti politik lain yang berbilang kaum akan bergabung di bawah khemah besar untuk menyaingi dan cuba menentang gabungan parti-parti Melayu.

"Jadi, kita ada dua aliran, satu parti Melayu yang nak mempertahankan kuasa Melayu Islam, yang lain nak meneutralkan kuasa Melayu Islam," katanya kepada Majoriti.

Umno dan gabungan dengan parti lain

Screenshot 2022-07-12 193334

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) selepas memeterai piagam MN pada 14 September 2019. — Bernama

Dalam perkembangan lain, Zainal berpendapat bahawa, terdapat usaha untuk memulihkan Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada Umno dan PAS.

Pada masa sama, beliau merasakan, terdapat juga sentimen untuk bergabung dalam kalangan tiga parti Melayu terbesar iaitu Umno, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengekalkan kuasa Melayu.

"Namun, kita pun tak pasti apa yang berlaku kerana mungkin Umno juga berusaha untuk pergi (bergerak) sendiri sebab ia pun ada perpecahan dalamannya. Dalam hal ini, Umno akan kekal dengan BN (parti komponen MIC dan MCA).

"Jadi, mungkin Umno dapat menyelesaikan masalah dalamannya di antara golongan (kluster) mahkamah dengan golongan kerajaan," katanya.

Berbalik kepada pembentukan gabungan khemah besar, Zainal menyifatkan parti-parti di bawah gabungan itu boleh memberi tentangan kepada Umno dan Bersatu.

Meskipun perkara tersebut masih belum disahkan, dakwanya, terdapat usaha menuju ke arah itu.

"Kalau parti khemah besar itu bersatu, mereka mungkin dapat menyaingi BN atau PN," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram