Trak pikap Triton putih tular bunyikan siren milik Bukit Aman


  • Tular
  • Khamis, 14 Jul 2022

Tangkap layar menunjukkan trak pikap jenis Triton putih memotong kenderaan lain dan membunyikan siren. — Facebook

SEBUAH kenderaan tular yang didakwa menggunakan siren polis ketika melalui sebuah lebuh raya dipercayai didaftarkan atas nama Ketua Polis Negara (IGP).

Berdasarkan satu tangkap layar komen pengguna di video tular tersebut, trak pikap jenis Triton putih itu dipercayai adalah kenderaan yang didaftarkan atas nama IGP.

"Untuk makluman kereta tersebut didaftarkan atas nama Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Harap faham, terima kasih," kata pengguna Facebook, Mohd Helmi.

Seorang lagi warganet Adi Muhammad Hadi turut mengesahkan kenderaan tersebut adalah kereta polis.

"Ya, memang kereta polis untuk CID D9 (Siasatan Khas). Kereta Triton Polis CID (Jabatan Siasatan Jenayah). Semua kontinjen boleh kata dapat kereta itu," katanya.

Tangkap layar komen pengguna Facebook mendakwa kereta tersebut didaftarkan atas nama ketua polis negara Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. — Facebook

Dalam video tersebut, kenderaan itu dilihat memotong kenderaan lain di bahagian tengah lorong lain di Lebuh Raya PLUS KM239 arah selatan dan membunyikan siren.

Rakaman video melalui kamera papan pemuka berdurasi 13 saat menunjukkan trak pikap menggunakan nombor pendaftaran VHE 5415.

Netizen mempersoalkan tindakan kenderaan itu membunyikan siren kerana tidak kelihatan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada badan kenderaan.

"Pakai siren macam PDRM tapi bukan polis, logo polis pun tiada," tulis status di hantaran video berkenaan.

Rakaman menunjukkan trak pikap jenis Triton membunyikan siren ketika melalui Highway PLUS. — Facebook

Setakat ini, rakaman tersebut yang dimuat naik di Facebook Malaysian Crime Watch - MyWatch mendapat sejumlah 23,000 tontonan setakat ini.

Kenderaan milik PDRM

Sementara itu, polis Perak mengesahkan, kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton menggunakan siren dan lampu kecemasan yang dirakam menerusi rakaman video tular itu merupakan milik pasukan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menjelaskan, kenderaan pacuan empat roda itu melalui KM239 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan itu dinaiki anggota yang sedang bertugas.

Menurutnya, pihak polis tidak mengesan sebarang salah laku atau salah guna kuasa seperti dakwaan yang tular menerusi media sosial berhubung video tersebut.

"Pada ketika itu, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah berjaya menangkap suspek dua lelaki di daerah Taiping kerana terlibat dalam satu sindiket curi kenderaan mewah.

"Pasukan tersebut bersama-sama suspek yang ditahan terus dibawa ke IPK Perak untuk tujuan siasatan lanjut.

"Atas faktor keselamatan serta tugas rasmi, pasukan serbuan tersebut telah menggunakan siren dan lampu kecemasan bagi mendapat laluan pantas ketika melalui laluan yang sesak," katanya dalam satu kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram