Lelaki maut tercampak, kereta terbakar di Kajang


  • 112
  • Rabu, 13 Jul 2022

Keadaan kenderaan yang dipandu mangsa terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pada Rabu. — Sinar Harian

SEORANG lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan sebelum terbakar di kilometer 303.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Kajang, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada pukul 1.30 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 30-an itu memandu sebuah kereta dari rumahnya di Taman Overseas Union, Kuala Lumpur menghala ke rumah rakannya di Seremban.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas melanggar besi pembahagi jalan di sebelah kiri jalan dan kereta tersebut terbakar.

"Akibat daripada kemalangan itu, mangsa tercampak di atas jalan menyebabkannya cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid berkata, punca sebenar kemalangan sama ada terdapat kecuaian daripada pemandu atau sebaliknya masih disiasat.

"Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kemalangan, Maut, Terbakar, Kajang, Gagal mengawal