Teman lelaki Amy didakwa muat naik video jelik di media sosial


V Alexander Navin yang memakai sweater berwarna hitam dan berseluar jeans pendek mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus. — Awani

TEMAN lelaki kepada wanita yang membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya, Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Rabu atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, pada Jun.

V Alexander Navin, 38, yang memakai sweater berwarna hitam dan berseluar jeans pendek mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’, YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy, pada 5 Jun dan 16 Jun lepas.

Kedua-dua hantaran itu dibaca di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, pukul 10.30 pagi, 9 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris tidak menawarkan jaminan, namun memohon RM40,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkan jaminan.

"Memandangkan kes ini viral dan bagi mengelak tertuduh melarikan diri serta ia mendatangkan kegusaran kepada orang awam, saya mohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang memuat naik sebarang hantaran berkenaan perjalanan kes di mana-mana media sosial sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam R. Sivaraj yang mewakili Alexander Navin memohon jaminan RM1,500 bagi setiap pertuduhan memandangkan anak guamnya yang bekerja sebagai penulis bebas tidak memperoleh pendapatan tetap.

Menurut peguam itu, sebelum ini anak guamnya yang masih bujang bekerja sebagai pengajar selam bebas, namun akibat pandemik Covid-19, pendapatannya terjejas akibat kejatuhan industri pelancongan ketika itu.

"Jumlah jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan amat tinggi kerana anak guam saya yang bekerja sebagai penulis bebas hanya berpendapatan RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Dia juga tidak akan melarikan diri dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya yang turut dibantu peguam Ramesh N.P.Chandran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram