Pelanggan KFC Raub bikin kecoh, tak puas hati makanan dihidang atas kertas, dulang kotor


  • Tular
  • Ahad, 10 Jul 2022

Tangkap layar KFC Raub hanya menggunakan kertas untuk dihidang kepada pelanggan. — Facebook

KEJADIAN pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap premis makanan segera terkenal, Kentucky Fried Chicken (KFC) bukanlah suatu yang baharu dalam masyarakat di Malaysia ataupun di luar negara.

Jika Jun lalu seorang pelanggan meluah rasa marah di laman Twitter apabila dikatakan restoran itu menjamunya dengan hidangan ayam yang telah lama dan dipercayai burger tersebut dipanaskan semula.

Kali ini, KFC mencetuskan lagi kontroversi apabila hanya menggunakan kertas nipis sebagai alas meletakkan makanan pelanggan dan lebih teruk lagi dulang yang digunakan oleh KFC cawangan Raub itu juga didakwa kotor.

Rakaman video kejadian pelanggan diberikan kertas sahaja untuk meletakkan makanan di KFC Raub.

"Kau kata bagi kertas saja. Beri penjelasan dekat aku. Aku bayar pakai duit, aku tunggu selama satu jam lima minit tapi aku dapat makanan begini.

"Ini kotor. Nampak itu ada sisa makanan. Aku bayar pakai duit, mana kau punya pengurus? Kotak ada kan, apa benda KFC macam ini. Mana pengurus awak, cuba keluar," kata pelanggan yang dikenali dengan nama Facebook Bob Ampang itu.

Petugas lelaki yang bertugas itu hanya mampu memberi alasan tiada pinggan dan hanya menggunakan kertas bagi mengalas dulang kepada pelanggan.

Bagi pelanggan lelaki berkenaan, tindakan KFC cawangan Raub yang meletakkan makanan pelanggan diatas kertas itu diibaratkan seperti ingin memberi anjing makan dan dengan kekotoran dulang itu boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa marah dengan perkhidmatan yang diberikan KFC, malahan ada yang menganggap ia seperti tidak mengambil pengajaran daripada insiden sebelum ini.

"Makin melampau pula dia punya nak jimat. Harga dahlah macam itu, KFC tolonglah, jangan rendahkan servis anda," kata pengguna, Hakim Hafiz.

"Kalau pun nak bagi pelanggan kau makan letak dalam bekas kentang keju itu, kan senang," kata Wanie Jamaluddin.

"KFC dah lama teruk, servis dan makanan pun dah tak mampu lawan restoran lain. Sudah-sudahlah itu. Banyak lagi tempat boleh makan selain KFC. Cubalah tempat lain pula," ujar Abdul Aziz.

Bagi warganet, perkara sedemikian wajar ditularkan sebagai pengajaran kepada restoran lain agar sentiasa cakna dengan aduan pelanggan dan ia sebagai cara mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Sementara itu, Majoriti cuba menghubungi pihak KFC bagi mendapatkan penjelasan namun tiada sebarang balasan diterima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram