Lebih 300 bakal jemaah haji ditipu agensi pelancongan, polis terima 17 laporan


  • 112
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Lebih 300 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA, Sepang pada Khamis, disyaki menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. —  Facebook

POLIS menerima 17 laporan berkenaan jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor pada Khamis disyaki menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, laporan itu dibuat oleh mangsa dan ahli keluarga mangsa.

"Setakat pukul 4.30 pagi tadi (Jumaat), ada 17 laporan diterima yang dibuat di beberapa daerah seperti Setapak, Kajang serta KLIA dan dijangka jumlah laporan ini akan bertambah.

"Maklumat awal, lebih 300 jemaah haji terkandas di KLIA. Polis sedang menyiasat kes ini dan sekiranya dikesan ada elemen jenayah, tindakan akan diambil," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada Khamis, media tempatan melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA sejak pagi Khamis dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram