TIGA lelaki warga asing maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sekitar Pulau Carey, Selangor pada Khamis.
Dalam kejadian itu, tiga lagi lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan dilaporkan cedera parah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.42 malam.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kemalangan, didapati terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Toyota Unser dan sebuah Honda HRV bertembung mengakibatkan tujuh mangsa tersepit.
"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 12.16 tengah malam dengan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua warga asing itu menaiki Toyota Unser dan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala lelaki tempatan berkenaan memandu Honda HR-V.
Katanya, tiga mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan seorang lagi dibawa ke Hospital Banting manakala tiga yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram