TikTok, aplikasi penyebar maklumat atau peraih populariti?


  • Massa
  • Khamis, 07 Jul 2022

LEBIH 4 juta rakyat Malaysia menggunakan aplikasi TikTok. — Agensi

APLIKASI TikTok kini digunakan secara meluas pada hari ini, dan buktinya lebih 4 juta rakyat Malaysia menggunakan aplikasi itu.

Malah mengikut ‘ranking’ global, TikTok berada di tempat kelima di muat turun dalam setiap telefon bimbit.

Menariknya, aplikasi ini bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan orang muda tetapi turut digunakan

Golongan tenaga pengajar yang mula beralih ke arah platform ini kerana perkongsian yang dimuat naik lebih mudah caranya dan menjadikan penyampaian itu lebih mudah difahami.

Ini dapat dilihat semasa Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada dua tahun lepas yang menyaksikan golongan tenaga pengajar mengubah cara bentuk pembelajaran untuk menjadi lebih kreatif dengan menggunakan aplikasi TikTok.

Berdasarkan dapatan penulis, kebanyakan tenaga pengajar menggunakan aplikasi TikTok dengan berkongsi secara ringkas ilmu-ilmu tambahan yang berada di luar kelas.

Selain itu, pelajar juga boleh menyimpan dan memainkan semula video tersebut pada bila-bila masa untuk dijadikan sebagai rujukan.

Ramai tenaga pengajar dari pelbagai bidang berkongsi tentang tip ilmu, fakta yang menarik, tutorial ringkas dan pelbagai lagi berdasarkan kreativiti masing-masing.

Maklumat-maklumat yang diberikan oleh tenaga pengajar melalui aplikasi TikTok tersebut sangat berguna sampai tambahan ilmu baharu dan turut berguna dalam membangunkan ‘soft skills’ para pelajar.

Walaupun terdapat pelbagai kebaikan penggunaan TikTok dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penulis mendapati semakin ramai tenaga pengajar yang mula menyiarkan proses pengajaran mereka secara langsung di medium tersebut.

Perkara sebegini tidak wajar terjadi kerana boleh mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang negatif terutamanya dalam kalangan ibu bapa.

Perlakuan ini adalah sesuatu tindakan yang tidak profesional malah dalam beberapa hal boleh mengganggu fokus tenaga pengajar tersebut dalam memberikan pengajaran yang terbaik kepada para pelajar.

Tambahan juga, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang pernah menyatakan penggunaan media sosial seperti TikTok hanyalah sekadar memuat naik isi kandungan ringkas dan padat sebagai pengukuhan murid dan bukan dengan menyiarkannya secara langsung dengan mencari populariti sambil kononnya menunjukkan ‘kesungguhan’ dalam mengajar.

Penulis sendiri bersetuju dengan kenyataan NUTP kerana perbuatan itu sangat tidak beretika dan menyalahi peraturan. Rata-rata netizen turut memberikan maklum balas yang negatif terhadap tindakan tersebut.

Kesimpulannya, aplikasi TikTok ini boleh memberi banyak manfaat kepada pengguna terutama sekali pelajar kerana pelbagai info dan dapatan ilmu yang boleh dikongsikan menerusi platform tersebut asalkan betul cara penggunaannya.

Namun bagi mengelakkan salah penggunaan aplikasi ini dalam kalangan guru, tindakan harus diambil oleh pihak berwajib seperti memberi amaran keras terutamanya kepada tenaga pengajar yang sudah terang lagi bersuluh melanggar etika ketika pembelajaran supaya isu-isu sebegini tidak akan lagi berulang. — Majoriti

Muhammad Taufiq Sapari, Mahasiswa Tahun 3 Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

*Ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram