SATU rakaman tular menunjukkan seorang pemandu jentera berat jenis jengkaut 'naik hantu' dengan menerbalikkan kenderaan milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kejadian yang berlaku di Keningau, Sabah.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika satu operasi secara rondaan di Jalan Kepayan Magatang di Kampung Ambual yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguatkuasa (PPP) Ridhwan Radhi bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa (KPP) Mohd Kamal Hafiz dan Penguat Kuasa (PP) Suhailin Padiman.
Kesemuanya menggunakan kenderaan jabatan dengan nombor pendaftaran JPJ162. KPP Mohd Kamal Hafiz mengesyaki sebuah kenderaan jenis backhoe (jengkaut) mencurigakan dan menahan untuk diperiksa.
"Semasa kenderaan diperiksa mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu kelas F. Secara tiba-tiba pemandu tidak berpuasa hati selepas saman dikeluarkan dan melanggar kenderaan jabatan," jelas satu kenyataan.
Pemandu juga mengugut untuk melanggar anggota penguatkuasa JPJ Cawangan Keningau.
Semua anggota bagaimanapun sempat menyelamatkan diri sekali gus menghubungi polis. Siasatan lanjut oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram