
SUNGAI Sungai Kayu Ara akan dinaik taraf sejauh 1 kilometer (km) untuk menyelesaikan isu banjir kilat di Kampung Cempaka, Petaling Jaya, Selangor.
Menurut Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Petaling, Mohd Kamal Mustafa, kerajaan Selangor memperuntukkan RM6 juta untuk projek naik taraf itu.
Katanya, peningkatan itu termasuk kerja-kerja pengukuhan cerun serta pembinaan tembok penahan, saluran keluar sungai dan kolam tadahan air berhampiran Lily Apartments.
"Isu banjir teruk sejak 10 tahun lalu. Jalur Sungai Kayu Ara sepanjang 1km berhampiran Jalan PJU 1/3A ini adalah yang paling kritikal kerana banjir dapat berlaku dengan cepat semasa hujan lebat.
“Kami berharap tidak akan berlaku lagi banjir selepas kerja-kerja itu disiapkan,” jelas Mohd Kamal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pecah tanah yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin.
Jamaliah berkata, penduduk Kampung Cempaka gembira dengan kelulusan projek itu kerana mereka sudah lama menderita.
“Banjir terburuk berlaku pada 2018 dan 2020 apabila air banjir mencecah ke leher,” katanya.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Persekutuan turut meluluskan RM20 juta untuk kerja-kerja naik taraf di sepanjang Sungai Kayu Ara.
“Perubahan iklim sedang berlaku dan ini akan mengakibatkan keadaan hujan yang tidak menentu dan banjir boleh berlaku walaupun pada musim bukan tengkujuh,” kata Jamaliah.
Ketua Kampung Cempaka Theresa Lim berkata, kampung itu mempunyai hampir 1,030 rumah dan 8,000 penduduk.
Setiap kali banjir, katanya, penduduk mengalami kerugian hampir RM7,000 serta tekanan perasaan.
Lim bersyukur kerana kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan meluluskan bajet untuk kerja-kerja menaik taraf sungai di kawasan itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram