TULAR di media sosial video seorang budak perempuan dirakam dalam keadaan khayal dipercayai lalok dadah jenis epam.
Video tersebut dimuat naik pengguna TikTok @nrathirah_m pada Selasa sebelum tular di media sosial lain.
Menerusi rakaman itu, @nrathirah_m yang menggunakan nama Tirah Manis di aplikasi itu memberitahu bahawa budak perempuan tersebut dikhuatiri khayal dan menyimpan pil epam di dalam poket seluarnya.
Menceritakan kembali bagaimana dia bertemu dengan budak itu, Tirah berkata, pada hari kejadian, adik lelakinya menerima panggilan daripada budak itu yang meminta mengambilnya di sebuah rumah.
"Aku dengan adik lelaki dan anak buah tengah buat kerja kat kedai kakak. Kami sedang melipat kain.
"Budak ni berdua dengan seorang lagi rakannya. Sore (Seorang) lagi elok tak khayal, yang seorang lagi tu call adik lelaki aku suruh ambil mereka di sebuah rumah dan hantar balik ke rumah mereka.
"Jadi adik aku minta tolong aku pegi ambil mereka," katanya dalam kapsyen video tersebut.
Katanya, dia setuju untuk mengambil mereka namun tak dapat terus hantar balik sebab nak selesaikan kerja di kedai.
"Aku pun pergi ambil...dari kedai kakak aku dalam 10 minit sampai kat mereka. (Aku boleh hantar) dengan syarat tolong aku lipat kain di kedai.
"Mereka setuju, aku pun pickup diorang di sebuah rumah. Ada lelaki yang bawa mereka (tapi) tinggal macam tu saja," katanya.
Tirah berkata, setibanya di kedai kakaknya, tiba-tiba salah seorang daripada mereka dalam keadaan khayal.
"Masa (rakam) ni, kami takut sangat tak tahu nak buat apa sampai adik nak letak je budak ni kat mana-mana," katanya.
Tambah Tirah, rupanya mereka semalaman tidak pulang ke rumah, jadi tidak hairanlah mereka berbau hapak.
"Saya tanya, dia (bagitahu) dia makan 'epang' (epam atau sejenis pil) dan masih ada dalam poket dia, jadi kami takut sangat... takut terlibat sekali.
"Nak heret dia ke balai dia pun takut, atas dasar simpati kami biarkan dan hantar balik," ceritanya.
Sementara itu, Tirah berharap kisah budak itu dijadikan iktibar supaya ibu bapa lebih peka terhadap keberadaan anak-anak mereka.
"Jadikan peringatan kepada ibu bapa untuk tidak membiarkan anak-anak dengan mudah ikut orang tidak dikenali khususnya lelaki ke mana-mana. Takut menyesal di kemudian hari," katanya.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Kelantan. Majoriti sedang mendapatkan maklum balas daripada polis Kelantan berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram