Terpedaya tawaran kerja, wang KWSP pembantu kesihatan lesap


  • 112
  • Selasa, 28 Jun 2022

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melalukan penipuan.

SEORANG Pembantu Perawatan Kesihatan kerugian RM37,361 apabila wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya lesap akibat terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja yang tidak wujud.

Ketua Polis Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, wanita berusia 26 tahun itu terpergaruh setelah melihat iklan di laman Facebook yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

"Setelah melihat iklan di facebook 'online work' dan mangsa telah berurusan dengan seorang individu yang memperkenal diri sebagai 'Agnes' dari syarikat 'SP eCommerce' untuk urusan tawaran kerja secara dalam talian," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, mangsa telah diperkenalkan dengan cara membeli pelbagai produk bagi tujuan menaikan rating dan mangsa kemudian akan mendapat imbuhan komisen setelah barangan tersebut dijual oleh pihak mereka.

"Mangsa telah membuat lapan kali transaksi ke empat akaun bank suspek sepertimana yang telah diarahkan...namun apa yang dijanjikan tidak diperoleh malah mangsa kerugian wang simpanan peribadi dan KWSP miliknya," katanya.

Mohd Shokri berkata, modus operandi sindiket ialah mengiklankan tawaran kerja yang mudah dan menguntungkan dalam masa singkat melalui media sosial dengan mangsa akan diberikan pulangan pada awalnya dan setelah mangsa terpikat, sindiket akan meningkatkan jumlah pembelian sehingga menyebabkan mangsa terjerat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melalukan penipuan.

Katanya, hasil siasatan awal menerusi semakan mendapati terdapat tiga laporan polis dibuat ke atas nombor akaun bank terbabit dan dua laporan terhadap nombor talian yang digunakan oleh sindiket sebelum ini. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram