Budak OKU telan dadah di Kuala Krai, bapa saudara dijel 3 tahun


Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Selasa. — Sinar Harian

BAPA sepupu yang menyebabkan seorang seorang kanak-kanak lembam kritikal akibat kandungan dadah dalam badan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM3,000 dan khidmat masyarakat selama 180 jam oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Hukuman diputuskan oleh Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas tertuduh, Mohd Shahrizuan Alias, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun sembilan bulan itu didakwa mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada sesuatu yang berbahaya terhadap tubuh badan iaitu dadah berbahaya jenis metamphetamine dan morfin sehingga menyebabkan mangsa mengalami drug toxicity.

Kesalahan dilakukan di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Mahligai, Dabong, Kuala Krai pada pukul 3 petang, 18 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama apabila disabitkan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada 19 Jun lalu, pihak Hospital Gua Musang menerima pesakit kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa oleh ibunya untuk rawatan.

Ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis methamphetamine dan morfin serta dipercayai terlebih dos hingga kritikal.

Sehari sebelum itu, kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) itu dibawa keluar oleh tertuduh untuk pergi mandi sungai. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram