Guna IC, lesen palsu untuk sewa kereta sebelum menyamun


Mohd Fakhrudin menunjukkan kad pengenalan serta lesen memandu palsu, dipercayai dibuat sendiri oleh seorang lelaki untuk menyewa kereta sebelum melakukan samun. — Sinar Harian

SEORANG lelaki menggunakan kad pengenalan dan lesen memandu palsu yang dibuatnya sendiri ketika menyewa kenderaan untuk melakukan jenayah samun sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40an bagaimanapun berjaya diberkas di sebuah rumah di Sungai Chua, Kajang, Selangor pada 15 Jun lalu.

"Siasatan mendapati, suspek menyewa kereta menerusi aplikasi dalam talian dengan menggunakan kad pengenalan dan lesen memandu yang berbeza sebelum menggunakan kenderaan itu ketika menjalankan aktiviti jenayah.

"Kereta yang disewa itu akan ditinggalkan begitu sahaja setelah suspek selesai memecah masuk kedai serbaneka," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Kata Mohamad Fakhrudin, dalam serbuan itu, polis turut menemukan pelbagai barangan dipercayai hasil pecah masuk kedai serbaneka antaranya tiga telefon bimbit, pemutar skru, satu unit dekoder kamera litar tertutup (CCTV), 12 kotak kereta mainan dan pelbagai barangan lain.

"Suspek mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod melibatkan jenayah komersil.

"Penahanan suspek ini berjaya menyelesaikan tiga kes pecah kedai serbaneka di kawasan Petaling Jaya. Suspek direman 14 hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram