Empat individu didakwa terlibat kes ambil tanah Kampung Sungai Baru, Pejuang buat laporan polis


  • Massa
  • Khamis, 23 Jun 2022

Isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru masih belum selesai sehingga kini.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersama Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru membuat satu laporan polis ke atas empat individu, yang terbabit dalam kes pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, proses pengambilan tanah itu bercanggah dengan undang-undang khususnya Akta Pengambilan Tanah 1960.

"Mana mungkin tanah milk peribadi yang bergeran diambil dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk tujuan pembangunan komersil tanpa unsur-unsur pembangunan bagi kepentingan awam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

template - 2022-06-23T155745.594

Laporan polis yang dibuat oleh Pejuang terhadap isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.

Pada masa sama, Khairuddin merayu supaya Perdana Menteri campur tangan dengan kadar segera dalam isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru di ibu negara.

Beliau berkata, Perdana Menteri ketika menjadi Ketua Pembangkang pada 2019 telah membuat kenyataan bahawa, proses pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru tidak boleh dilakukan kerana ia bukan untuk tujuan pembangunan bagi kepentingan awam.

Lantaran itu, katanya, Perdana Menteri harus mempertahankan kenyataan beliau dan membantu mempertahankan hak orang-orang Melayu yang tinggal di Kampung Sungai Baru.

"Pihak kerajaan harus menitikberatkan isu kependudukan Melayu di kawasan bandar yang sentiasa berdepan pelbagai cabaran hidup.

"Kita harus mempertahankan tanah orang Melayu di kawasan bandar dan sekiranya mampu untuk menambah pemilikan tanah-tanah Melayu di bandar atau separa bandar.

"Ciri-ciri Melayu dan kependudukan anak bangsa di kawasan-kawasan bandar mesti dipertahankan," katanya.

Pada masa sama, Khairuddin turut menggesa kerajaan supaya menarik balik warta pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru dan menganjurkan satu rundingan baharu, yang lebih telus dan adil di antara pihak pemaju dengan pemilik tanah kampung tersebut.

Menafikan mahu mempolitikkan isu itu, Khairuddin berkata, pihaknya sanggup bekerjasama dengan semua pihak ke arah mencari satu penyelesaian secara 'menang menang' merangkumi semua pihak yang terlibat dalam kes pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.

Terdahulu, Pejuang membuat laporan polis ke atas empat individu iaitu Pengarah Syarikat Ritzy Gloss Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad; Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Zulfakar Wahd; Wartawan Berita Media Warga Kota Wilayahku, Azlan Zambry; dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Datuk Affendy Zahari.

Laporan polis itu antara lain menyebut Abdul Hadi telah membuat kenyataan bahawa pemaju telah mengalami kerugian sebanyak RM42 juta.

Namun, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) menerusi kenyataan media mendakwa bahawa, Ritzy Gloss Sdn Bhd hanya mengalami kerugian sebanyak RM30 juta.

Sementara itu, laporan polis juga menyebut bahawa Zulfakar disifatkan membuat kenyataan jahat dan berunsur fitnah di dalam media cetak Warga Kota Wilayahku bertarikh 23 Jun 2022.

Dalam kenyataan itu, Zulfakar didakwa menyatakan bahawa, tanah di kawasan itu telah diwartakan untuk tujuan tersebut dan kira-kira 291 pemilik telah bersetuju dan menurunkan tandatangan bagi projek pembangunan semula di kawasan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram