Suami bakar rumah sendiri di Keningau gara-gara gaduh dengan isteri


  • 112
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Mangsa dihantar ke hospital dan keadaan rumah yang terbakar sepenuhnya dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan, Sabah. — Sinar Harian

SEORANG lelaki melecur di bahagian badan selepas bertindak membakar rumahnya sendiri dalam kejadian di Kampung Kiukad Lotong, Tambunan,Sabah pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa berusia 62 tahun terbabit bertindak sedemikian selepas berselisih faham dengan isterinya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 10.36 malam dan seterusnya memaklumkan kepada pihak bomba.

"Hasil siasatan mendapati mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan mengalami kecederaan dan menurut saksi, badan mangsa melecur terkena api ketika sedang menyalakan api.

"Mangsa melecur di bahagian badan sebanyak 40 peratus manakala isteri mangsa selamat kerana tidak berada di lokasi kejadian," katanya.

Katanya, akibat kejadian itu rumahnya musnah dijilat api selain sebuah kenderaan rosak.

Nor Rafidah berkata, kes masih dalam siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih belum diketahui.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 21 kilometer. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram