Bersatu akan terus beri sokongan kepada Perdana Menteri


  • Politik
  • Sabtu, 18 Jun 2022

Hamzah memberitahu sokongan Bersatu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan pengorbanan parti itu bagi memastikan Malaysia kekal aman dan harmoni.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan sekarang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya sokongan Bersatu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan pengorbanan parti itu bagi memastikan Malaysia kekal aman dan harmoni.

"Bersatu melalui pelbagai fasa sejak sejak zaman Tun Mahathir hingga Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-duanya merupakan bekas Perdana Menteri negara yang berdepan dengan konflik sehingga terpaksa berundur daripada jawatan berkenaan.

"Jika mahu mempertahankan kedudukan, mungkin Bersatu tidak akan menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri yang merupakan ahlli Umno, tetapi kerana fikirkan rakyat, kita berjiwa besar bagi sokongan kepada beliau," katanya.

Tambahnya lagi, Bersatu merupakan parti yang membuat rakyat berfikir bahawa perjuangan parti sentiasa mendahulukan rakyat.

Jelas beliau lagi, jika apa yang dilakukan Bersatu hari ini bukan kerana rakyat, pasti Malaysia sudah porak peranda.

"Orang hanya tahu cari kesalahan tetapi sebenarnya Bersatu adalah parti yang banyak berkorban untuk rakyat.

"Kalau saya bukan dari Bersatu, saya akan kata, parti inilah yang banyak mengalah supaya negara tidak jadi kecoh," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram