Perlekeh tindakan SPRM antara 4 perkara memorandum Majlis Peguam


  • Massa
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Karen Cheah ketika berucap dalam Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di tempat letak kereta Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Jumaat. — Sinar Harian

MAJLIS Peguam menuntut empat perkara untuk memastikan badan kehakiman negara dapat bergerak bebas.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn berkata, empat perkara tersebut terdapat dalam memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Pertama, kami mahu kebebasan badan kehakiman ditegakkan.

"Kedua, kami mahu kerajaan memelihara kepercayaan orang awam terhadap badan kehakiman.

"Selain itu, kami mengutuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Keempat, kami mahukan Parlimen mereformasi undang-undang untuk memastikan dakwaan terhadap hakim yang bertugas dilakukan dengan betul supaya tidak merosakkan keyakinan terhadap badan kehakiman," katanya berucap dalam Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Majlis Peguam di tempat letak kereta Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Perhimpunan tersebut bermula dengan ucapan daripada beberapa orang kepimpinan Majlis Peguam pada pukul 10 pagi sebelum mereka cuba bergerak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi pihak Ismail Sabri.

Bagaimanapun, pergerakan mereka tidak dibenarkan sebelum rundingan selama beberapa minit dilakukan oleh pihak Majlis Peguam bersama polis. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram