Penumpang kerusi hadapan maut, bas persiaran rempuh treler di lebuh raya PLUS


  • 112
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Keadaan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang selepas bas persiaran yang dinaiki terlibat dengan kemalangan. — JBPM

SEORANG wanita maut apabila bas persiaran dinaikinya merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 425.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di Hulu Selangor, Selangor menghala ke selatan awal pagi Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Hamaizah Fadzilah, 54, dipercayai duduk di bahagian kerusi penumpang hadapan bas berkenaan.

"Pihak bomba menerima panggilan pada jam 4.32 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Bukit Sentosa kemudiannya dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 4.54 pagi.

"Mangsa yang merupakan wanita warga tempatan itu didapati tersepit di bahagian tempat duduk penumpang yang remuk di bahagian hadapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja mengeluarkan mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu bas dan treler serta penumpang lain bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu bas dan penumpang lain berjaya keluar dari bas tersebut dan berkumpul di lokasi selamat," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, media tempatan sedang mendapatkan pengesahan pihak polis berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram