Jual motosikal curi sehingga RM1,000 kepada warga asing, remaja antara 7 dalang ditahan di Sungai Buloh


  • 112
  • Khamis, 16 Jun 2022

Shafa'aton (tengah) menunjukkan motosikal yang berjaya ditemui di IPD Sungai Buloh, Selangor pada Khamis. — Sinar Harian

KEGIATAN satu sindiket curi motosikal didalangi remaja berusia 15 tahun terbongkar selepas polis menahan tujuh lelaki menerusi Op Lejang Kumpulan Haikal yang menjual hasil kegiatan kepada warga asing

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kumpulan tersebut menyasarkan motosikal jenis Yamaha LC135 dan Honda Wave untuk dijual kepada warga asing atau meleraikan komponen untuk kegunaan sendiri.

"Hasil soal siasat kesemua suspek mengaku terlibat sebanyak 25 kes curi motosikal dan kes pecah dobi. Kumpulan tersebut menjual motosikal kepada pendatang asing dengan harga RM500 hingga RM1,000.

"Hasil risikan polis menjalankan serbuan dan rampasan di enam lokasi berasingan di sekitar Sri Damansara, Kuala Lumpur dan Sungai Buloh dan menahan tujuh lelaki tempatan berusia 15 hingga 22 tahun.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki Indonesia berusia 50 tahun pada 20 April, mendakwa motosikal Yamaha LC135 milik rakannya yang diletakkan di depan rumahnya telah hilang.

Shafa'aton berkata, polis berjaya menemui kembali lima buah motosikal, tujuh rangka motosikal, empat bongkah enjin dan komponen motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

"Modus operandi kumpulan ini ialah mencuri motosikal sebelum melerai dan mengambil komponen untuk kegunaan sendiri sebelum membuang rangka motosikal di semak serta sungai berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Selangor pada Khamis.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan serta Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram