SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat pengasas produk kecantikan yang didakwa memuat naik kandungan sumbang dan jelik di media sosial.
Menerusi kenyataan pada Khamis SKMM berkata, pemeriksaan terhadap ketiga-tiga individu terlibat di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang telah dilakukan pihaknya dengan kerjasama kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu.
"SKMM memandang serius tindakan beberapa pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal yang telah memuat naik kandungan yang boleh disifatkan sebagai sumbang dan jelik di laman aplikasi Instagram dan Tik Tok masing-masing," katanya.
Suruhanjaya itu berkata, siasatan lanjut berkaitan kes tersebut masih dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Jika sabit kesalahan, hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.
Mereka juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
"Sehubungan itu, orang ramai khususnya selebriti yang mempunyai pengaruh di dalam masyarakat seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan bertentangan dengan undang-undang," katanya.
Sebelum ini, rakaman aksi tepuk punggung melibatkan seorang penyanyi bersama tiga pengasas produk kecantikan itu mengundang kecaman orang ramai. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram