JABATAN Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor akan mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis kepada gerai makan yang dipercayai membuat kerja pelebaran premis hingga mengambil ruang pili bomba awam.
Ia selepas gambar pili bomba 'terpacak' di tengah-tengah sebuah gerai makan di medan selera di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang, Selangor, tular dan mendapat liputan portal Majoriti pada Sabtu.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya juga akan membuat surat aduan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk tindakan lanjut.
"Dalam situasi ini, ada dua kaedah yang boleh diambil pihak bomba kepada pemilik premis iaitu mengenakan kompaun sebanyak RM300 atau menggunakan Akta 341 untuk tindakan lebih tegas.
"Jadi, kita akan guna Akta 341 di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 atas kesalahan tidak mematuhi notis menghapuskan bahaya kebakaran yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua duanya," kata Norazam kepada Majoriti.
Gambar tular menunjukkan keadaan sebuah pili bomba awam di dalam gerai makan dipercayai di Ampang. — Facebook
Menurut Norazam, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana premis tersebut secara jelas sudah mengambil ruang pejalan kaki dan kawasan pili bomba.
"MPAJ kena teliti semula macam mana gerai di medan selera ini boleh buat kerja extend kedai sampai pasang tiles di ruang pili bomba, seperti yang didakwa para pelanggan.
"Jadi kita akan bagi notis kepada MPAJ untuk mereka tengok apa bentuk tindakan wajar yang boleh diambil sama ada sitaan, kompaun dan lain-lain," katanya.
Sementara itu, Majoriti turut berusaha mendapatkan respons MPAJ berhubung perkara berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram