SEKEPING gambar memaparkan keadaan sebuah pili bomba dikelilingi meja makan dalam sebuah gerai, dipercayai di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang, Selangor, tular di media sosial.
Keadaan itu menjadi bahan jenaka netizen kerana beranggapan pili bomba itu tidak sepatutnya berada di tengah-tengah kedai makan.
Persoalan timbul bagaimana boleh berlaku sedemikian, namun ia dipercayai terjadi berikutan kerja melebar gerai makan terbabit hingga 'memakan' kawasan pili bomba tersebut.
Semakan Majoriti mendapati, pili bomba berwarna merah ialah pili bomba awam bagi menyediakan bekalan air tidak bermeter untuk tujuan operasi pemadaman kebakaran.
"Dari rumah flat sampai ke kedai di (tepi) jalan, hebat rakyat Malaysia bab extend ni," tegur seorang pengguna Facebook, Zur Haffiz di ruangan komen.
Tambahnya, kejadian sedemikian yang ditular di media sosial membuka mata semua pihak tentang aspek pemantauan dan penguatkuasaan yang tidak diambil serius oleh pihak berkaitan.
"Banyak yang tidur rupanya," kata Zur Haffiz lagi.
Gambar itu terdahulu dikongsikan oleh Faiz Zakaria Basimin di Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini dan mendapat lebih 65 perkongsian setakat Sabtu.
Kapsyen gambar itu berbunyi, "Kedai bifoti (B40, pelanggan tituenti (T20) dan emfoti (M40). Lokasi Ampang."
Netizen turut mempersoalkan sama ada bolehkah perniagaan sedemikian diusahakan oleh golongan isi rumah berpendapatan bawah 40 peratus rendah.
"B40 (mampu) buka kedai? Eh," perli Wan Ahmad Asmuie.
Smallz Are Peace pula meninggalkan komen, "Kalau macam ni silap-silap, tauke dah T20, bulan-bulan bomba bayar sewa dekat dia pacak paip."
Sementara itu, En As mempersoalkan jika Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ada membuat rondaan berkala untuk pergi memeriksa pili dalam keadaan sedemikian.
"Ni sebenarnya kantoi JBPM tak buat pemeriksaan berkala," kata Sulaiman Mat Saat yang bersetuju dengannya.
Amsyar Affendy berkata, JBPM boleh buat laporan walaupun tugas meroboh premis di bawah pihak berkuasa tempatan.
"Bomba pun boleh report...sedangkan ada benda yang menghalang paip bomba contoh kayu palet pun pihak bomba boleh saman syarikat tu. Apa lagi dalam situasi macam ni. Takkan tutup mata kan," katanya.
Sementara itu, Mohd Khalid Hamzah menggesa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) peka dan mengambil tindakan terhadap perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram