Wanita marah anak dalam bas ke Temerloh, rupanya stres angkara suami dan ibu mentua


  • Tular
  • Rabu, 01 Jun 2022

Keadaan wanita itu dan anaknya ketika dibantu oleh keluarga Puan Shira Ira. — Facebook

BARU-BARU ini, tular sebuah video perkongsian dari seorang penumpang bas mengenai sikap ibu yang tergamak memarahi dan bertindak kasar terhadap anaknya sepanjang perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Temerloh, Pahang.

Bagaimanapun, pengguna TikTok, Qissy memuat naik video bahagian kedua iaitu menyatakan keadaan kembali terkawal selepas seorang lelaki yang juga merupakan seorang anggota polis bertindak untuk menegur sikap ibu berkenaan.

Video perkongsian dari pengguna TikTok, Qissy berhubung wanita itu memarahi anaknya dalam bas menuju ke Temerloh.

Video itu meraih pelbagai respons dari warganet yang rata-ratanya memarahi sikap wanita tersebut sehingga mereka mempersoalkan di mana kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.

Namun di saat ramai yang mengecam tindakan ibu tersebut, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Puan Shira Ira tampil menceritakan lebih terperinci kisah keluarga itu selepas bersemuka dengan wanita itu.

posting

Tangkap layar penjelasan dari Puan Shira Ira berhubung kisah ibu tersebut.

Hantarannya pada Rabu itu menjelaskan bahawa wanita itu sebenarnya sedang tertekan dan stres melampau setelah pasangannya ditahan polis akibat kesalahan dadah, malah ibu tersebut turut dihalau ibu mentua kerana tidak suka dengan cucu-cucu tirinya di rumah.

Menurut wanita itu, dia ke Temerloh hanya sebagai persinggahan sebelum menuju ke Kuala Lumpur untuk bekerja di tempat lama dan keluarga itu hanya mampu tidur di rumah ibadat sehinggalah Puan Shira Ira menawarkan mereka untuk bermalam di homestay milik keluarganya.

"Umi bagi dia telekung suruh solat,mandi dan umi nasihat dia.. masa ni kami tak tahu lagi kisah dia dah viral. Sedih tengok keadaan anak dia.

"Tengah hari kami dapat tengok video viral itu tapi tetap kena tolong umi kata..Umi nasihat dia jangan pukul anak, umi peluk anak-anak dia.. dia kata ALLAH uji dia sebab dia lama tak solat. Masa umi nak balik anak dia peluk umi. Tak bagi balik, nak ikut umi..kasihan macam kurang kasih sayang," katanya.

Sejurus mengetahui dirinya telah tular di media sosial, wanita terbabit, cerita Puan Shira Ira, berasa malu tentang tindakannya di dalam bas tempoh hari dan mengakui masih menyayangi anak-anaknya.

Setelah mendengar keluhan wanita itu, Puan Shira Ira kemudiannya membawa keluarga itu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meminta bantuan serta membeli pakaian baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram