Insiden disumbat kain busuk, saksi kes Bella takut kena marah kalau 'cerita' kepada polis


Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

SEORANG penghuni Rumah Bonda hari ini mengakui bahawa kecederaan melecur dialami remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.

Yasmin Nahar Mahmood, 19, bersetuju dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bahawa Bella bermain dengan termos itu yang berada di bilik dobi sebuah kondominium di Wangsa Maju, Selangor, sebelum air termos tertumpah dan terkenanya.

Semasa memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam, saksi pendakwaan kelima itu juga bersetuju dengan cadangan Nurul Hafidzah bahawa, beliau juga ada memberitahu perkara sama (air termos tumpah) ketika memberi keterangan kepada pihak polis di lobi kondominium pada 7 Julai 2021.

Nurul Hafidzah: Setuju atau tidak air termos yang tertumpah, bukannya air daripada mesin penapis air.

Yasmin: Setuju.

Pada prosiding sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas yang diambilnya daripada mesin penapis air ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.

Disoal peguam adakah punca tumpahan air daripada termos disebabkan Bella bergaduh dengan seorang lagi penghuni dikenali sebagai Balqis selepas remaja sindrom Down itu menghabiskan pencuci muka dan makanan ringan milik Balqis, Yasmin menjawab, tidak pasti.

Yasmin bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam Siti Bainun, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor bahawa, hanya termos yang dirampas oleh seorang pegawai polis semasa pegawai itu datang ke kondominium berkenaan.

Nur A'minahtul Mardiah: Tiada mesin penapis air dan pemanas air yang dirampas.

Yasmin: Tidak setuju.

Yasmin juga tidak bersetuju dengan cadangan Nur A'minahtul bahawa, kejadian mengikat Bella serta tidak mahu memberi air minuman kepada remaja itu dilakukan olehnya dan disaksikan oleh seorang penghuni Rumah Bonda dikenali sebagai Siti.

Saksi itu turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa, keterangannya di mahkamah adalah rekaan bertujuan untuk memastikan Siti Bainun dipenjarakan.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berhubung kewujudan kain yang didakwa disumbat pada mulut Bella oleh Siti Bainun, saksi itu berkata, dia tidak memaklumkan atau menceritakan kepada pihak polis mengenai perkara itu selepas Siti Bainun mengarahkannya supaya tidak berbuat demikian.

“Kalau cerita (pada polis) saya kena marah, saya tidak percaya kepada mana-mana pihak pun, kain itu sudah busuk...kain sudah buang,” kata saksi itu.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung pada Selasa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram