TINDAKAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut kekosongan jawatan menteri yang ditinggalkan ahli mereka selepas keluar daripada parti, tidak wajar ditimbulkan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelantikan ahli Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, terserah kepada Perdana Menteri untuk memilih pengganti Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin tanpa ada sebarang tekanan dari mana-mana pihak.
"Ada parti yang menyatakan kerusi kementerian itu milik mereka, ia tidak wajar berlaku kerana urusan kabinet adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.
"Hendak letak siapa, di kementerian mana dan berapa jumlah komposisi wakil parti dalam kabinet itu juga hak Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pembinaan Masjid Jamek Kampung Parit Mokhayat, Ayer Baloi, di Pontian, Johor pada Jumaat.
Sebelum itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, partinya akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet berikutan ia adalah kuota parti itu.
Tindakan itu dilakukan selepas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri Kabinet sambil menyatakan keputusan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan turut memberi peringatan bahawa jawatan jemaah menteri yang ditinggalkan Zuraida mesti dikembalikan kepada Bersatu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram