Mayat budak lemas di Kota Marudu ditemukan selepas rambut tersangkut pada kayu


  • 112
  • Sabtu, 14 Mei 2022

Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — Sinar Harian

KANAK-KANAK perempuan yang hanyut di Sungai Melangkap ditemukan meninggal dunia kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang dalam kejadian di Kampung Melangkap Darat, Kota Marudu, Sabah pada Sabtu.

Mangsa, Elzanatira Asod, 10, ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan keselamatan pada pukul 11.50 pagi, selepas rambutnya tersangkut pada kayu di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua dimulakan pada pukul 7 pagi di sepanjang sungai berkenaan.

"Ketika pencarian dilakukan, seluar milik mangsa ditemui dua kilometer dari tempat mangsa hilang oleh penduduk kampung.

"Mangsa pula kemudian berjaya dijumpai oleh penduduk bersama pihak bomba dan agensi bantuan lain sejauh tujuh kilometer dari tempat dia hilang di mana ketika itu rambutnya tersangkut pada kayu," katanya kepada pemberita.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi SAR ditamatkan pada pukul 12.30 tengah hari," katanya.

Sebelum itu, media tempatan melaporkan, mangsa dikhuatiri lemas selepas menyeberang sungai bersama ibunya ketika dalam perjalanan pulang dari kebun pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, kepala air tiba-tiba datang dan menyebabkan mangsa hanyut, manakala ibunya berjaya ke tepi sungai. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

lemas, kanak-kanak, Kota Marudu