Jual roti canai 50 sen sekeping sejak 21 tahun lalu


  • Massa
  • Rabu, 25 Mei 2022

Mustafa menunjukkan roti canai kosong berharga 50 sen (kiri) dan roti telur RM1 yang dijual di warungnya di Bukit Pulau, Bukit Katil. — Sinar Harian

BIARPUN terkesan dengan kenaikan harga barang serta kesukaran mendapatkan bekalan tepung gandum, seorang peniaga roti canai masih mengekalkan harga 50 sen sekeping bagi roti canai kosong sejak 22 tahun lalu.

Dia juga masih mengekalkan harga RM1 bagi roti telur dan roti planta, demikian menurut laporan Sinar Harian, pada Selasa.

Mustafa Abd Latif, 58, berkata, dia mula berniaga roti canai pada tahun 2001 bersama isterinya, Norlela Salleh, 51.

Menurutnya, selagi masih ada kudrat, dia akan terus menjual roti canai dengan harga sedemikian kerana niatnya sejak dulu lagi mahu berniaga sambil bersedekah.

Katanya, setiap hari dia akan menebar lebih 200 keping roti canai dan jumlah itu akan berganda hingga mencecah 500 keping pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

"Pada hari biasa saya menyediakan kira-kira 10 kilogram (kg) tepung gandum dengan mengambil masa dua jam untuk menyiapkan doh roti canai.

"Selalunya petang saya akan memulakan aktiviti ini dan jumlah tepung bertambah ke 20kg pada hari minggu dan cuti umum," katanya ketika ditemui di warungnya di Bukit Pulau, Bukit Katil.

Mengulas lanjut, dia yang sebelum ini menceburi bidang kraftangan mengambil keputusan untuk mengusahakan roti canai dengan dibantu tiga daripada empat anaknya.

Ujarnya, dia mula berniaga roti canai di Banda Hilir sebelum berpindah ke Bukit Katil dengan menyewa tanah di situ pada kadar RM480 sebulan sejak 11 tahun lalu.

Katanya, cabaran pada masa ini adalah kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan mentah terutama tepung gandum.

"Sekarang susah nak cari dua jenama tepung gandum yang biasa saya guna.

"Bukan tidak mahu menggunakan jenama lain, tapi untuk jaga kualiti dan memastikan roti canai lembut biarpun telah sejuk, saya lebih gemar guna tepung ini," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram