Tak puas hati lelaki OKU raba budak 12 tahun dilepaskan, polis tampil bagi respons


  • Tular
  • Ahad, 15 Mei 2022

Kejadian raba melibatkan budak perempuan 12 tahun itu dikatakan berlaku di PPR Kerinchi, Pantai Dalam. — Sinar Harian

SEORANG wanita, Intan Tantiyana Puteri Jaafar meluahkan kekesalan terhadap penguatkuasaan pihak polis selepas seorang pelaku yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap anak saudaranya yang baru berusia 12 tahun, dilepaskan kerana lelaki berkenaan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Kejadian itu dikatakan berlaku pada 10.15 pagi Sabtu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur berdasarkan satu laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa di Balai Polis Pantai.

"Anak saudara saya umur 12 tahun diraba di dalam lif di Blok E PPR Kerinchi pagi tadi (Sabtu) tapi pelaku pemegang kad OKU jadi polis lepaskan.

"Dah ramai jadi mangsa katanya. Sampai bila nak dibiarkan begini? Berapa ramai lagi harus jadi mangsa?," tulisnya dalam nada kecewa di Facebook Pantai Dalam Community.

Hantaran status tersebut kemudian tular selepas dikongsi semula akaun Facebook lain. Semakan Majoriti mendapati status tersebut mendapat 24 perkongsian sejak tular pada Ahad.

WhatsApp Image 2022-05-15 at 2.16.46 PM

Tangkap layar status Intan Tantiyana Puteri Jaafar mengenai kejadian gangguan seksual terhadap anak saudaranya. — Facebook

Menerusi laporan polis itu, ibu mangsa mendakwa anaknya diraba seorang lelaki kurang siuman ketika budak perempuan itu berada di dalam lif selepas pulang membeli barang dari kedai runcit di hadapan blok rumah di PPR tersebut.

"Saya meminta anak ke kedai runcit dengan ditemani adik sepupu lelaki berumur tiga tahun. Setibanya di rumah, dia menangis dan ketakutan kerana dikejar seorang lelaki dewasa lingkungan umur 35 tahun yang tinggal di tingkat 8 blok rumah kami.

"Anak saya melarikan diri masuk ke dalam lif dan lelaki itu terus meahan pintu sebelum masuk ke dalam lif. Lelaki itu juga dikatakan telah meraba dan memegang alat sulit serta bahagian dada anak saya.

"Ketika sampai ketika tingkat 8, lelaki itu terus keluar. Kejadian ini pernah berlaku kepada saya sebelum ini," katanya dalam laporan polis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji pada Ahad mengesahkan menerima laporan berkenaan.

"Rakaman percakapan mangsa dan suspek telah diambil dan berdasarkan keterangan mengatakan suspek penghidap sakit mental.

"Pihak polis akan membawa suspek ke Hospital Bahagia setelah mendapat perintah mahkamah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram