Budak 10 tahun pandu kereta ke sekolah, ibu bapa serah diri ke balai


  • 112
  • Jumaat, 13 Mei 2022

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta Perodua Kancil berwarna merah. — Facebook

SATU video tular di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memandu Perodua Kancil berwarna merah bersama dua lagi kanak-kanak di tempat duduk penumpang, dipercayai berlaku di Johor.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, video berdurasi 10 saat itu dirakam di Pontian, Johor dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) mula mengesan video itu di media sosial pada Selasa.

“Susulan penemuan video itu, kami menjalankan siasatan terperinci dan mendapati kejadian berlaku pada pukul 7 pagi Selasa di Pekan Nanas ketika kanak-kanak itu bersiap sedia untuk ke sekolah.

“Kereta itu dipandu oleh seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang membawa adik perempuan berusia enam tahun dan adik lelaki berusia tiga tahun di tempat duduk penumpang bersamanya," kata Shofee.

Video tular di media sosial yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta sendiri untuk ke sekolah.

Berikutan itu, ibu bapa dan tiga anaknya datang menyerah diri ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian pada pukul 10 pagi Khamis.

"Ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan mengakui akaun TikTok yang memaparkan video itu adalah miliknya.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ibu bapa atau penjaga yang membenarkan kanak-kanak memandu kenderaan di bawah umur boleh didakwa di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001.

“Selain itu, pemilik kenderaan yang juga ibu atau bapa kanak-kanak berkenaan boleh disaman mengikut Seksyen 39 (5) APJ 1987,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram