Maqis rampas tin ikan berisi daging babi


  • 112
  • Khamis, 12 Mei 2022

Azhari menunjukkan produk daging babi yang berjaya dirampas pada sidang media Maqis di Bayan Lepas.

PRODUK dilabel sebagai tin berisi ikan dari China dirampas selepas didapati isi dalam tin yang sebenarnya daging babi.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Dr Azhari Sharidan Abu Bakar berkata, mereka berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk sebuah kontena dengan 864 kotak (20,736 tin) yang dilabelkan sebagai produk makanan ikan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang.

Azhari berkata, taktik syarikat pengimport dikesan pada Februari lalu apabila pegawai penguatkuasa Maqis menemui 7,050.24 kilogram produk ikan dalam tin bernilai RM326,592 dari China.

"Kesemua produk berkenaan disita untuk siasatan lanjut kerana menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan.

"Barang-barang yang diimport dengan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Siasatan lanjut mendapati produk yang dilabel sebagai ikan itu sebenarnya daging babi dan sampel produk itu telah diambil dan diuji oleh Jabatan Kimia Malaysia.

"Daging babi dilarang diimport dari China untuk mengelakkan risiko Demam Babi Afrika (African Swine Fever) memasuki negara ini," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat Maqis di Bayan Lepas pada Khamis.

Azhari menambah bahawa syarikat yang mengimport penghantaran itu didakwa di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis.

"Syarikat itu didenda RM16,000 bagi setiap pertuduhan lain dan telah membayar denda tersebut.

"Kami telah merampas barangan tersebut mengikut undang-undang dan akan memusnahkannya dalam tempoh dua minggu akan datang," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram