Peguam Negara sahkah Tun M sudah maklum terma penyelesaian


Pada Jumaat Dr Mahathir, menerusi hantaran di laman Facebooknya melahirkan rasa terkejut dan tidak bersetuju dengan cara kes saman itu yang diselesaikan di luar mahkamah.

PEGUAM Negara, Tan Sri Idrus Harun pada Sabtu berkata, beliau telah memaklumkan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai terma penyelesaian berkaitan saman yang difailkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas perdana menteri itu dan kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, berikutan penyelesaian itu, plaintif iaitu Mohamed Apandi telah menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara.

Idrus berkata, mahkamah kemudiannya membatalkan tuntutan plaintif tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

"Saya hanya boleh mengesahkan bahawa Tun (Dr Mahathir) menulis baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat penyelesaian. Saya sudah menjawab untuk memaklumkan kepadanya syarat penyelesaian,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Pada Jumaat, Dr Mahathir, menerusi hantaran di laman Facebooknya melahirkan rasa terkejut dan tidak bersetuju dengan cara kes saman itu yang diselesaikan di luar mahkamah dan mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian walaupun merupakan saksi utama dalam kes tersebut.

"Saya menulis kepada Peguam Negara (Idrus). Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan.

"Semasa saya beri keterangan kepada pihak Peguam Negara bagi persediaan kes saman Mohamed Apandi terhadap saya, saya telah dimaklum bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosedur dan Rule of Law," katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut membangkitkan persoalan sama ada pampasan perlu dibayar jika tindakan penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi dibuat mengikut undang-undang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram