Tiga suspek ditahan, polis sedang lengkapkan kertas siasatan kes tembak di Bukit Bintang


  • 112
  • Sabtu, 07 Mei 2022

Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian itu ada kaitan dengan urusan dadah.

POLIS mengesahkan kesemua suspek yang disyaki terlibat dalam kes tembak mati seorang lelaki tempatan di sebuah hotel di Bukit Bintang di Kuala Lumpur 3 Mei lalu telah selesai ditahan.

Sebelum ini, tiga lelaki termasuk rakan sebilik mangsa, dipercayai suspek utama yang berada bersama-samanya dalam hotel berkenaan ketika kejadian ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan.

"Tiada penahanan baharu. Semua suspek telah ditahan. Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim memberitahu, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian itu ada kaitan dengan urusan dadah.

Hasil tangkapan kesemua suspek, polis berjaya menjumpai dan merampas sepucuk pistol Revolver.38 serta enam butir peluru dan satu pistol semi auto Baretta bersama lapan butir peluru serta 1 kelopak peluru, yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram