SEBUAH keluarga berhadapan situasi cemas apabila dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menyorok dalam almari bilik hotel mereka di Kota Bharu, Kelantan.
Kejadian pada Khamis itu dikongsi oleh seorang pengguna Tiktok Dobi Dina yang menunjukkan lelaki berkenaan mendakwa dirinya telah ditipu oleh seorang wanita.
Rakaman keluarga itu mengasak soalan kepada lelaki tidak dikenali itu.
Malah, lelaki itu juga mempertahankan dirinya dalam keadaan tenang seakan tidak melakukan kesalahan meskipun telah menceroboh bilik hotel keluarga itu, malahan dia juga menawarkan untuk berbincang secara baik.
Menjengah di ruangan komen, pemilik akaun TikTok itu menjelaskan bahawa lelaki yang memakai topi itu dipercayai terlibat dengan urusan melanggan seorang wanita dan memasuki bilik berkenaan dengan menggunakan kad kredit.
Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel itu menunjukkan, terdapat tiga orang lagi bersama dengan lelaki berkenaan dan suspek juga telah berdiri lama di hadapan bilik hotel berkenaan sebelum memasukinya.
Difahamkan, lelaki berkenaan kini berada dalam tahanan polis dan siasatan masih dijalankan.
Susulan kejadian yang menimpa keluarga itu, rata-rata warganet berasa takut dan menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dengan memeriksa bilik hotel terlebih dahulu sebelum membuat perkara lain.
"Semua kena amalkan tabiat selalu periksa setiap penjuru bilik hotel, setiap kali masuk bagi elak benda macam ini berlaku. Itu tabiat saya kalau mahu menginap hotel, " ujar pengguna TikTok, Abbie Vanessa.
"Sebab itu saya kalau masuk bilik hotel, saya terus tidak rehat-rehat saya jenis periksa buka semua pintu-pintu dan laci-laci serta ruang-ruang yang ada dulu untuk tengok di dalam almari," kata pemilik akaun, Wawa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram