SEORANG pengawal keselamatan ditahan kerana menceroboh sebuah bilik hotel di bandar Kota Bharu, di Kota Bharu, Kelantan yang dihuni satu keluarga.
Kejadian itu berlaku pada jam 10.30 malam Khamis lalu apabila keluarga itu pulang ke bilik hotel selepas keluar pada petang hari sama dan mendapati pintu bilik mereka gagal dibuka.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, mangsa menghubungi pihak pengurusan dan memaklumkan mengenai perkara itu.
"Sebaik pintu berjaya dibuka, mereka mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali berada dalam bilik terbabit.
"Suspek berusia awal 20-an ditahan sebaik perkara itu dimaklumkan kepada kami dan hasil ujian saringan mendapati lelaki itu positif dadah methampethamine," katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 1.03 saat yang dimuat naik seorang individu memaparkan dakwaan seorang lelaki menceroboh masuk ke dalam bilik hotel.
Mohd Rosdi berkata, hasil semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.
"Suspek direman empat hari bermula semalam hingga 9 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (KK) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan tampil membantu siasatan jika ada maklumat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram