Pesara tentera maut dan isteri parah, polis kenal pasti punca Wira-Harrier bertembung di Machang


  • 112
  • Khamis, 28 Apr 2022

Kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.  — Sinar Harian

SEORANG pesara tentera maut selepas kereta jenis Proton Wira yang dipandunya terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah lagi kenderaan di Kilometer (KM) 36.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Bukit Belah di Machang, Kelantan pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu mangsa, Kassim Hassan, 66, yang beralamat di Kuala Pertang, Kuala Krai dipercayai meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke arah Kuala Krai.

"Setiba di tempat kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan kemudian terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandu mangsa telah bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier yang datang dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, situasi itu mengakibatkan kereta jenis Proton Saga FL yang berada di belakang gagal mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit di bahagian pemandu meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shuhaimi berkata, isteri mangsa, Fatimah Mamat, 68, mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Machang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram