Murid di pedalaman Sabah guna 'flying fox' ke sekolah, hari-hari bertarung nyawa


  • Tular
  • Khamis, 28 Apr 2022

Tangkap layar salah satu video murid sekolah itu menggunakan 'flying fox' yang tidak kukuh untuk pergi ke sekolah.

'IBARAT tiada jalan penyelesaian." Demikian luahan warganet ketika menyaksikan video tular murid yang seolah-olah 'bertarung nyawa' setiap kali mahu ke Sekolah Nangkawan, Nabawan, Sabah.

Menerusi video tular berkenaan, terdapat beberapa murid yang terpaksa meredah pelbagai rintangan untuk ke sekolah termasuk menggunakan 'flying fox', dan situasi itu dilihat cukup kritikal apabila boleh meragut nyawa mereka bila-bila masa sahaja.

Rakaman situasi murid Sekolah Nangkawan, Nabawang, Sabah apabila ingin menuntut ilmu.

Dalam beberapa video yang dihantar oleh pengguna Facebook Nina Othman itu, beberapa murid sekolah berkenaan seakan-akan mempertaruhkan nyawa mereka apabila hanya menggunakan tali serupa 'flying fox' yang tidak kukuh untuk menuntut ilmu.

Malah, hantaran itu juga menunjukkan video beberapa murid lain hanya menggunakan rakit tanpa jaket keselamatan untuk menyeberang ke sekolah mereka.

"Nampak seronok, tapi kalau dah tragedi menimpa, baru nak menyesal dan mula menunding jari.

"Tahun ini, sudah 59 tahun sejak Sabah mencapai Kemerdekaan. Ini tidak wajar. Ini keperluan asas. Ini bahaya. Tak perlu komen sinis. Perlu bersuara dan bertindak demi keselamatan anak-anak kita," kata Nina Othman.

Malah terdapat juga seorang pengguna Facebook berkongsi pengalaman ibunya semasa mengajar di sebuah sekolah pedalaman di Sabah dan menurutnya, kemunduran yang dialami penduduk Sabah itu tidak pernah berubah.

"“Mak saya sudah 27 tahun mengajar di sekolah pendalaman, dari saya kecil sampai saya ada anak sendiri, masih begini juga keadaan sekolah-sekolah di sana," ujar Zazila Roslan.

Rentetan hantaran berkenaan, rata-ratanya berasa bengang dengan sikap kurang bertanggungjawab pihak berkuasa dan berharap tindakan sewajarnya perlu dilakukan dengan segera sebelum nyawa anak kecil yang tidak berdosa akhirnya melayang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram