'Shopping' raya saat-saat akhir sebelum balik kampung


  • Massa
  • Isnin, 25 Apr 2022

Orang ramai membeli-belah sempena sambutan hari raya Aidilfitri di Jalan TAR di Kuala Lumpur. — AZMAN GHANI/The Star

UMAT Islam tidak melepaskan peluang membeli-belah di saat-saat akhir di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur sepanjang minggu ini sebelum pulang beraya ke kampung halaman pada hujung minggu.

Ia dapat dilihat di pusat beli-belah di sekitar Jalan TAR dipenuhi orang ramai yang datang membeli barangan keperluan dan pakaian untuk persiapan menjelang Aidilfitri.

Seorang pelajar, Farah Izzati Muhd Fauzi, 21, berkata, dia datang ke lokasi membeli-belah itu bersama keluarganya.

"Walaupun tiba awal, kami terkejut melihat keadaan amat sesak di sini," katanya.

Farah Izzati dan keluarganya berada di kawasan itu sekitar pukul 9 pagi Isnin.

"Kami membeli-belah untuk persiapan raya setiap minggu sejak sebulan lalu dan ini kali terakhir sebelum pulang ke kampung halaman di Johor," tambahnya.

Farah berkata, dia teruja untuk meraikan Aidilfitri selepas dua tahun berhadapan sekatan Covid-19.

Pengantin baharu, Athirah Sakri, 26, pula berkata, dia tidak sabar untuk menyambut raya tahun ini bersama suami dan telahpun membeli pakaian raya sebelum Ramadan.

Usahawan itu berkata, tujuannya singgah di Jalan TAR adalah untuk membeli selendang baharu sebelum pulang ke kampung halamannya di Terengganu.

"Saya sering datang membeli-belah di sini kerana banyak pilihan, segala-galanya ada di Jalan TAR.

"Kehadiran orang ramai luar biasa tahun ini berbanding sebelum wabak Covid-19," tambahnya.

Dalam pada itu, Fitrah Azman, 24, yang baru pertama kali berada di Jalan TAR, kagum dengan pilihan pakaian yang cantik dan telah mendapatkan dua pasang baju raya.

Eksekutif produksi dari Kedah itu berkata, ini kali pertama dirinya membeli-belah untuk raya tahun ini dan dia akan pulang ke kampung halaman hujung minggu.

Bagi Azmaliza Abdullah Zaki, 38, dia mendapati lokasi itu sangat sesak sehingga sukar untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan.

"Abang saya tidak mempunyai pilihan selain menurunkan keluarga sementara mencari tempat letak kereta.

"Ketika keluarga selesai membeli belah, abang saya sewaktu itu masih berusaha mencari tempat letak kereta.

"Jalan TAR penuh dengan orang ramai yang gemar membeli-belah pada saat-saat akhir," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram