BEKAS Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia pada Khamis pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland.
Berita itu disahkan KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada pagi Khamis.
Allahyarham yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1958 memegang jawatan tersebut dari tahun 2012 hingga 2018.
Sebelum dilantik sebagai KSN, Ali pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian juga sebagai Ketua Penolong Pengarah/ Ketua Unit Perkapalan di Kementerian Pengangkutan.
Allahyarham juga pernah bertugas di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dari 1997 hingga 2009 dan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Ekonomi Wilayah sejak 2003.
Selain itu, Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Johor Corporation dan Pengarah Bukan Eksekutif Bintulu Port Holdings Bhd.
Allahyarham dilantik sebagai KSN pada 19 Jun 2012 menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak perkhidmatan pada 23 Jun 2012.
Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat dalam bidang Ekonomi Persekitaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram