Enggan bergambar, penyanyi lelaki pukul bekas isteri


  • 112
  • Rabu, 20 Apr 2022

PENYANYI itu memukul bekas isterinya di sebuah kediaman di Kota Damansara, Selangor.

SEORANG penyanyi lelaki ditahan kerana disyaki memukul bekas isterinya kerana enggan bergambar dengannya di kawasan parkir di sebuah kediaman di Kota Damansara, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataannya berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di kediaman tersebut pada Rabu.

"Siasatan awal mendapati kejadian pada pukul 2.29 petang, wanita berusia 27 tahun itu datang ke kediaman tersebut untuk mengambil anak lelakinya.

"Perselisihan faham berlaku apabila mangsa enggan bergambar bersama suspek," katanya.

Fakhrudin berkata, suspek telah memarahi dan memukul badan mangsa sehingga menyebabkan kesan lebam dan sakit pada anggota badannya.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif," katanya.

Beliau berkata, suspek akan dihadapkan ke hadapan Majistret pada Khamis untuk permohonan tahanan reman bagi siasatan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ Sek 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram