KWSP agih pengeluaran khas RM10,000 lebih awal, bukan lagi 20 April


  • Primer
  • Ahad, 17 Apr 2022

Kerajaan membenarkan ahli KWSP di bawah usia 55 membuat pengeluaran dana persaraan mereka sebanyak RM10,000 buat kali terakhir.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mula mengeluarkan bayaran untuk pengeluaran khas RM10,000 pada Isnin dan bukannya Rabu seperti yang dijadualkan, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menteri Kewangan berkata, dalam catatan Facebook Ahad, beliau telah menerima banyak komen dan mesej di media sosial bertanyakan sama ada pembayaran boleh dibuat lebih cepat,

"Saya telah mendengar suara anda. Selepas membincangkan perkara itu dengan KWSP, sukacitanya saya mengumumkan bahawa pembayaran pengeluaran khas akan dikreditkan secara beransur-ansur mulai 18 April dan bukannya 20 April seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam catatan Facebooknya.

Beliau juga menambah bahawa beliau berharap pengumuman itu akan membantu menjadikan sambutan Hari Raya lebih meriah untuk Keluarga Malaysia.

Beliau juga turut berkata wang tersebut dapat membantu mengurangkan beban yang di tanggung rakyat Malaysia.

Kerajaan baru-baru ini telah membenarkan ahli KWSP di bawah usia 55 membuat pengeluaran dana persaraan mereka sebanyak RM10,000 buat kali terakhir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lepas dalam satu sidang media khas berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemohon boleh menyemak status permohonan pengeluaran khas dari semasa ke semasa di portal Pengeluaran Khas - https://pengeluarankhas.kwsp.gov.my/. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram