Ubah suai basikal keterlaluan, mat lajak akan terus diawasi — Bukit Aman


  • 112
  • Ahad, 17 Apr 2022

Mat lajak gemar melakukan aksi ala Superman di jalan raya.

PEMANTAUAN berterusakan akan dijalankan di seluruh negara bagi memastikan 'mat lajak' tidak berada di jalan raya.

Menjelaskan tentang bahayanya aktiviti berkenaan, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mat Kasim Karim berkata, pengubahsuaian yang dibuat pada basikal tersebut adalah keterlaluan.

"Basikal itu tidak sepatutnya berada di atas jalan raya kerana ia tidak mengikut spesifikasi," katanya.

Beliau merujuk kepada 'basikal lajak' yanag diubah suai oleh pemiliknya supaya ia boleh digunakan untuk berlumba di jalan raya.

Penunggangnya dikenali sebagai 'mat lajak' dalam bahasa pasar.

Basikal berkenaan diubah suai secara berlebihan untuk membolehkan penunggangnya mengayuh dengan lebih laju dan melakukan aksi ala Superman.

Brek biasanya ditanggalkan untuk menghilangkan geseran dan berat yang berlebihan.

'Mat lajak' sekali lagi menjadi perhatian ramai berikutan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor pada minggu lalu menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun ke atas seorang kerani wanita kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 2017.

Ia membawa kepada perbalahan orang ramai yang mempersoalkan mengapa remaja perlu keluar di jalan raya dengan basikal yang diubah suai.

Screenshot 2022-04-17 073358

Sam Ke Ting dijatuhi hukuman dan penjara atas dakwaan memandu secara melulu.

Ujar Mat Kasim, tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.

Namun, beliau menasihati ibu bapa supaya memberi lebih perhatian kepada aktiviti anak-anak mereka.

"Ibu bapa perlu memainkan peranan, begitu juga dengan masyarakat setempat. Kami tidak mahu tragedi sama berulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Suprintendan Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, seramai 156 'mat lajak' ditahan pada 2019 dan 2020.

Lebih 60 peratus kes melibatkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan kebanyakan mereka ditahan di Kuala Lumpur serta Selangor.

Tiada tangkapan dibuat tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menurut Bakri, kegiatan basikal lajak kian reda selepas pihak berkuasa mula mengambil tindakan terhadap ibu bapa kerana cuai di bawah Akta Kanak-kanak.

"Pada 2019, tindakan diambil terhadap enam ibu bapa kerana membiarkan anak mereka tanpa pengawasan," katanya.

Ujarnya lagi, banyak video mat lama yang disebarkan baru-baru ini adalah video lama.

"Namun, kami akan terus memantau aktiviti seumpama itu di seluruh negara," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram