Sam Ke Ting fail rayuan, peguam berterima kasih sokongan orang ramai


Mahkamah Tinggi pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam atas pertuduhan tersebut serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

PEMANDU wanita yang disabitkan kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lepas, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Khamis.

Peguam, Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam Ke Ting, 27, berkata, notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan terhadap anak guamnya difailkan menerusi sistem e-filing mahkamah.

"Untuk makluman, notis usul untuk kebenaran merayu atau penangguhan hukuman serta perakuan segera difailkan melalui e-filing. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada Sam Ke Ting," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Pada Rabu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam atas pertuduhan tersebut serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Jika dia gagal membayar denda, boleh dipenjara enam bulan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram