SEORANG pemandu dan kelindan lori ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, Pahang selepas didakwa cuba menyeludup barangan berupa minuman keras, rokok elektronik, barangan runcit dan perkakas dapur.
Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi, dalam kejadian yang berlaku di Jalan Kemahang, Tanah Merah di Rantau Panjang, Kelantan pada pukul 7 pagi Selasa itu, mereka mengakui menerima upah sebanyak RM300 untuk menyeludup barang-barang berkenaan menggunakan lori jenis Isuzu.
"Ketika ditahan, pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan yang dibawa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pemeriksaan di bahagian belakang lori itu menjumpai 3,225 botol dan 1,476 tin minuman keras tidak bercukai, rokok elektronik (290 kotak), barangan runcit dan perkakas dapur.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM531,381.
"Siasatan awal mendapati kesemua barangan tersebut dibawa untuk dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur.
"Hasil soal siasat, pemandu yang berusia 32 tahun dan kelindan 30 tahun itu memberitahu mereka menerima upah sebanyak RM300 bagi satu trip penghantaran," katanya.
Azhari berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983.
Katanya, kejayaan tersebut hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh Batalion 7 PGA Kuantan menerusi Op Wawasan Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram