SEORANG remaja ditahan selepas tindakannya menyepak makanan ringan dan air mineral kerana berang gagal menjual racun tikus berharga RM200 di sebuah kedai runcit di Kampung Lati, Pasir Mas, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam kejadian pukul 10.30 pagi Selasa itu, suspek berusia 17 tahun masuk ke dalam kedai berkenaan untuk menjual racun tikus.
"Pekerja kedai runcit itu menghubungi majikannya untuk memaklumkan perkara tersebut. Pemilik kedai runcit itu menolak permintaannya kerana harga yang ditawarkan terlalu mahal.
"Suspek yang naik angin bertindak menyepak barangan jualan pengadu sehingga berlaku kerosakan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, suspek sebelum ini pernah membuat kacau dan memeras ugut pekerja kedai dengan memaksa untuk membayar racun tikus yang dijual dengan harga tidak masuk akal.
Tambah beliau, suspek yang datang menaiki kereta jenis Proton Satria terus beredar selepas bertindak demikian.
"Susulan kejadian itu suspek ditahan pada pukul 2 petang oleh anggota Balai Polis Bukit Panau, Tanah Merah yang membuat rondaan di kawasan tersebut.
"Turut ditahan seorang remaja berusia 15 tahun yang dipercayai rakan suspek. Siasatan lanjut akan diteruskan selepas tempoh reman diperolehi," katanya.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 16 saat memaparkan tindakan suspek merosakkan barangan di kedai runcit tersebut tular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram